::
:: Rasional & Harapan
:: Penganjuran
:: Objektif & Tema
:: Format & Pendekatan
:: Kertas Kerja Utama
 
::
Ucap Utama
::
Pembentangan "Status Paper"
::
Tajuk 1
::
Tajuk 2
::
Tajuk 3
::
Tajuk 4
::
Tajuk 5
::
Tajuk 6
::
Tajuk 7
::
Tajuk 8
::
Tajuk 9
:: Penyertaan Kongres
:: Struktur & Jawatankuasa
:: Hubungi Kami
   
Petikan ucapan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, pada Majlis Perasmian Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di Dewan Merdeka, PWTC, 12 Januari 2009)
 

Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama dalam satu majlis yang penting dalam menggembleng pemimpin dan pentadbir, ulama dan intelektual, pemimpin sektor swasta dan badan bukan kerajaan dari pelbagai disiplin, untuk menggali dan menggerak seluruh potensi dalam usaha kita memperkasa ekonomi ummah.

Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di atas inisiatif menjayakan wacana intelektual  yang amat kita nanti-nantikan. Saya juga gembira dan amat mengalu-alukan penyertaan wakil daripada negara-negara jiran kita. Kepada tuan-tuan, saya mengucapkan selamat datang ke Kongres ini dan mengharapkan agar perbincangan yang bakal dilakukan akan merangsang kerjasama berterusan di kalangan negara serantau.

 

Senario Antarabangsa

Hari ini dunia menyaksikan situasi ekonomi yang semakin tidak menentu. Tidak seperti krisis pada tahun 1997-98, krisis yang sedang melanda kita ini, walaupun kesannya masih belum kelihatan sepenuhnya, namun ia dijangka akan berpanjangan.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang suatu ketika dahulu merupakan badan kewangan paling berpengaruh di dunia menjangkakan bahawa masyarakat antarabangsa akan berhadapan dengan kedatangan Great Depression kedua.

Apa yang lebih ketara ialah, krisis ini bukanlah bermula dari negara membangun atau negara miskin yang selama ini menjadi sasaran kritikan dan kecaman hebat pihak Barat.  Sebaliknya, krisis ini bermula di tengah-tengah nadi ekonomi dunia, iaitu Amerika Syarikat, sebuah negara yang tidak pernah teragak-agak dalam menyelar negara-negara dunia atas apa-apa kesilapan yang dilakukan. Namun hari ini, negara inilah yang memulakan bencana kepada sistem ekonomi dan kewangan antarabangsa.

Sepanjang tempoh lebih 37 tahun, sejak Kongres Ekonomi Kedua diadakan pada 1972 yang dirasmikan oleh ayahanda saya, Tun Abd Razak, ternyata sudah terlalu banyak kemajuan yang berlaku, baik dalam perkembangan ekonomi Islam,  mahupun urusan yang berkait langsung dengan persoalan masyarakat Islam di negara ini.

Kita di Malaysia seharusnya bersyukur dengan segala limpahan rahmat dan nikmat daripada Allah s.w.t dan seharusnya berbangga dengan segala pencapaian yang telah kita kecapi sehingga kini. Segala kecemerlangan yang kita lakarkan sepanjang tempoh lebih lima puluh tahun negara kita merdeka, tidak mungkin akan kita nikmati sekiranya kita jumud untuk terus bermuhasabah dengan belajar daripada segala kejayaan mahupun kelemahan masa lalu.

Kemunculan Ekonomi Islam Kontemporari

Para perintis ekonomi Islam kontemporari abad ke-20, meletakkan visi menjadikan ekonomi Islam satu sistem yang adil dan saksama. Malah hasrat murni ini turut dibangunkan dengan menggabungkan asas ajaran Islam, iaitu wahyu dan unsur universal. Asas sebegini telah berjaya membentuk konsep awal yang unggul berbanding sistem kapitalisme mahupun sosialisme.

Umat Islam sememangnya terhutang budi dengan para pengasas ini atas sumbangan awal mereka tatkala sekularisme dan materialisme sedang menular secara berleluasa dalam dunia Islam, kesan dari agenda modenisasi di awal 1950-an sehingga 1960-an. Walau bagaimanapun, iltizam para ulama dan intelektual pada masa itu berjaya mengemukakan konsep kemajuan yang berasaskan ajaran agama dan tradisi umat Islam yang gemilang.

Pembangunan Ekonomi Islam di Malaysia

Malaysia memulakan agenda ini seawal 1970-an, sekali gus memperlihatkan dedikasi dan kesungguhan kita membangunkan ekonomi Islam dan ternyata tidak pernah menggugat prestasi ekonomi negara. Malah, pembangunan ekonomi Islam ini telah mewujudkan suatu kestabilan yang berupaya memenuhi kehendak rakyat negara ini. Alhamdulillah, kita telah berjaya membuktikan bahawa Islam mampu menjadi sistem yang ampuh dalam mewujudkan keharmonian bagi negara berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia.

Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu hari ini, kita seharusnya berupaya untuk menunjukkan, sama ada secara konsep mahupun praktikal, bahawa pendekatan Islam dalam pembangunan ekonomi mampu menyediakan penyelesaian konkrit dan realistik bagi menghadapi kemelut ekonomi dan kewangan  yang sedang melanda dunia kini.

Kongres Ekonomi Islam Ketiga

Saya amat gembira kerana Kongres Ekonomi Islam Ketiga ini akan bermatlamat untuk menjadi platform bagi menilai status semasa kejayaan ummah, meneliti dan mengkaji secara menyeluruh potensi sumber yang dimiliki serta berkongsi idea dan  pengalaman untuk mengukuhkan ekonomi ummah seluruhnya.

Seperti mana yang telah dilakukan oleh para pengasas ekonomi Islam lebih 30 tahun lalu, seperti juga dalam situasi genting hari ini, kita wajib memikul tanggungjawab yang sama, menggunakan kekayaan khazanah warisan Islam serta amalan terbaik di dalam ekonomi moden demi pembangunan masa hadapan.

 Inisiatif dan Komitmen Masa Depan

Kongres ketiga ini seharusnya menjadi permulaan kepada usaha berterusan yang serius dan teliti dalam perbincangan dan wacana dalam kumpulan pakar di kalanagan kita. Saya menggesa semua pihak memberikan sokongan padu terhadap usaha murni ini demi mempastikan agenda pembangunan ummah ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

Sudah kerapkali kita mendengar tentang tindakan segelintir umat Islam yang hanya cuba mencapai matlamat jangka pendek, tanpa memahami bahawa kejayaan sesuatu masyarakat merupakan proses berterusan yang memakan masa. Pencapaian yang besar akan hanya diperolehi dengan melakukan penelitian yang mendalam, strategik, dan sistematik.  

Potensi dan Kekuatan ummah

Tatkala sistem kapitalis dianggap sebagai sistem yang serba boleh, selama lebih 300 tahun, ternyata semakin banyak bukti yang menunjukkan kelemahan. Kewujudan terlalu banyak unsur luar kawalan (external factors) dalam sistem perbankan kapitalis membuktikan bahawa sistem ekonomi yang tidak mempunyai hubungkait rapat dengan aktiviti yang sebenar dan produktif adalah ancaman kepada keseluruhan sistem.

 Bagi kita umat Islam, seharusnya melihat situasi ini adalah satu peluang keemasan untuk membuktikan kehebatan, kelebihan dan keberkesanan sistem perbankan dan kewangan Islam (Perbankan Islam) seperti Takaful, Suquk, Ar Rahnu, dan pelbagai instrumen kewangan Islam lainnya. Ternyata ianya telah menjadi alternatif terbaik dalam berhadapan dengan krisis semasa. Suasana ini, menuntut kita secara komited untuk membuat penilaian dan kajian terhadap pendekatan dan amalan semasa produk kewangan Islam agar prasarana dan packaging nya benar-benar menjadi pilihan terbaik. Diharapkan dengan krisis yang sedang hebat melanda akan membuka jalan kepada penemuan baru yang lebih universal dan adil.

 Perbahasan khusus mengenai perbankan dan kewangan, yang dikemukakan ini merupakan satu contoh nyata kekuatan yang dimiliki umat Islam. Saya berpendapat selain kejayaan yang telah dicapai di bidang perbankan dan kewangan ini, terdapat banyak lagi kekuatan dan potensi yang boleh dimajukan.

 Antaranya, kekuatan dan potensi yang dimaksudkan termasuklah aset tenaga intelektual dan pakar di bidang perbankan Islam yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya. Tumbuhnya masyarakat perniagaan di kalangan umat Islam adalah suatu potensi yang wajib diurus sehingga menjadi satu kekuatan jaringan (networking) yang sedia terujud berasaskan prinsip silaturrahim, amat wajar disemarakkan menjadi suatu gelombang kekuatan ekonomi yang baru.

 Potensi lain yang wajar dimajukan termasuklah membangunkan industri perniagaan produk halal dalam semua sektor seperti makanan, pembuatan dan perkidmatan. Industri produk halal dan potensi halal hub yang sedia da haruslah dikembangkan dengan lebih serius, pesat dan holistik bagi manfaat ummah. Kekuatan semangat  at Ta’a’wun (bantu membantu) di kalangan umat Islam wajib direalisasikan dalam bentuk yang lebih realistik bagi membina semangat kepenggunaan, menggembleng dana termasuk Zakat, Waqaf dan Sadaqah Jariah. Seharusnya, kekuatan zakat, wakaf dan sadaqah jariah sudah lama berjaya membangun kekuatan ekonomi dan sekali gus membebaskan umat Islam dari belengu kemiskinan, kemunduran dan  perpecahan.

Pihak kerajaan sentiasa bersedia membantu dan turut serta bagi merealisasikan usaha murni dalam memajukan apa sahaja yang dapat membangunkan kekuatan ekonomi Islam. Oleh itu, saya yakin jika potensi yang dimiliki ummat Islam dapat disatukan, diurus dengan baik serta sistematik dan objektifnya berdasarkan syariah, maka insyaAllah, kita akan berjaya tanpa bergantung kepada mana-mana pihak. 

Sesungguhnya umat Islam tidak sepatutnya miskin, lemah dan mundur. Allah s.w.t telah menjamin bahawa kita adalah umat yang terbaik yang diturunkan di tengah-tengah manusia seperti yang terungkap dalam al-Quran, Surah Al-Imran: ayat 4 (bermaksud):

“Kamu (wahai Muhamad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia. ”

Oleh hal yang demikian, kita dituntut untuk berusaha di bidang ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, sesuai dengan jaminan dan perintah Allah tersebut. Hanya dengan ini sahaja kita layak menjadi umat yang mampu memberi faedah kepada manusia yang lain. Mampu menyelesaikan masaalah dunia seluruhnya, sesuai dengan Surah Al-Anbiya’: 107 (bermaksud):

Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.” 

Saya berharap KEI-3 ini, akan dapat menghasilkan resolusi yang realistik dan praktikal sesuai dengan kekuatan yang dimiliki ummah ini. Sehubungan dengan itu, saya ingin memberi beberapa penegasan dan mengesyorkan beberapa perkara berikut untuk  diberi perhatian oleh KEI-3:

Pertama:

Kerajaan akan terus komited dalam melaksanakan dan memperluaskan program ekonomi dan kewangan berasaskan Islam di negara ini

Penegasan ini adalah berasaskan keupayaan dan sumbangan besar yang telah ditunjukkan oleh produk-produk ekonomi dan kewangan Islam yang ternyata memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negara, umat Islam dan masyarakat  Malaysia seluruhnya.

Kedua:

Perhatian utama akan diberikan kepada Sektor Ijtima’i (masyarakat)

Kenyataan ini  berasaskan bahawa sektor Ijtima’i  adalah sebagai satu daripada sektor dalam Sistem Ekonomi Islam (Muamalat), yang sama penting peranannya dengan sektor kerajaan dan sektor swasta. Dengan kata lain sektor ini merujuk kepada wujudnya Sistem Jaminan Sosial yang diperkenalkan Islam sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Unsur terpenting yang menjadi kekuatan sektor Ijtima’i ialah Zakat, Wakaf dan Sadaqah Jariah. Apabila kita telah sama-sama mengakui dan mengiktiraf tuntutan dan kepentingan sektor ini, maka saya menyeru supaya prasarana dan institusi berkaitan harus disokong dan diperbaiki supaya lebih berkesan untuk muncul sebagai sumber kekuatan yang baru dan segar demi manfaat umat Islam.

Ketiga:

Perlunya diwujudkan institusi kewangan Islam berkonsepkan ‘entreprenuer  friendly’

Institusi kewangan Islam berkonsepkan ‘entreprenuer friendly’ adalah suatu yang wajar difikirkan dengan serius. Saya yakin ia bakal berperanan sebagai   menggembleng dana dan pada masa yang sama ia berperanan membela serta memajukan usahawan Muslim sepertimana instrumen kewangan Islam yang bersesuaian berasaskan prinsip Mudharabah dan Musyarakah.

Keempat:

Perlunya konsep ‘Muslim Networking’ (Muslim Net) diperkenalkan

Konsep ini sesuai menjadi strategi pengukuhan jaringan perniagaan sesama muslim di semua peringkat serantau dan antarabangsa. Konsep atau pendekatan ini penting sebagai langkah menterjemahkan prinsip hubungan Silaturrahim yang dianjurkan oleh Islam. Dengan semangat ini isu ‘mismatch’ seperti pergerakan modal negara Islam ke negara Barat dan modal insan di kalangan negara Islam akan dapat diatasi.  Pada masa yang sama ekonomi ummah juga dapat diperkasakan. Oleh itu, negara kita wajar mengambil  langkah proaktif untuk mengeksport pakar-pakar kewangan Islam dan sekali gus dapat menarik dan mengurus dana dari negara-negara Islam.

Bagi tujuan ini inisiatif wajar dilakukan oleh badan atau agensi seperti institusi pembangunan ekonomi Islam, pergerakan pengguna atau dewan perniagaan dengan disokong oleh pihak kerajaan melalui agensi atau institusi yang relevan.  

Kelima:

Perlunya diperkenalkan konsep ‘Peluang hingga Berjaya’

Konsep ini mampu memberi pembelaan kepada usahawan yang tulin dan berusaha untuk terus berjaya. Prinsip Islam yang murni meletakkan mereka yang menghadapi masalah kewangan kesan daripada faktor luar kawalan mungkin dapat dimasukkan didalam golongan Al Gharimin (satu daripada asnaf zakat). Prinsip ini juga membawa maksud bahawa golongan seperti ini wajar dibantu hingga mereka keluar daripada masalah yang dihadapi dan akhirnya akan berupaya menjadi pengeluar zakat.

Bagi menjayakan semua penegasan dan syor yang dikemukakan termasuk resolusi KEI-3 ini, adalah diharapkan semua Kementerian dan Agensi bersesuaian di peringkat Pusat, seperti Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), mengambil langkah proaktif bagi menjayakannya. Dalam masa yang sama kesediaan institusi lain seperti YaPEIM, Dewan Perniagaan Islam dan institsui yang bersesuaian untuk bersama-sama menjayakan hasrat murni ini, amat dihargai dan dialu-alukan.

Inisiatif YaPEIM untuk turut menganjurkan Festival Pembangunan Ekonomi Islam (i-fest09), sebagai Show Case kepada KEI-3 ini, adalah langkah yang akan membawa banyak kesan dan faedah kepada masyarakat kita.

Saya doakan kedua-dua program besar dan penting ini akan berjalan lancar dan mencapai kejayaan. Dengan doa dan harapan itu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada YaPEIM dan Majlis Perundingan Islam, JAKIM, Jabatan Perdana Menteri, di atas komitmen dan kejayaan menganjurkan program-program besar ini. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Kongres Ekonomi Islam Ketiga dan melancarkan secara rasmi Festival Pembangunan Ekonomi Islam (i-fest’09). Semoga Allah merahmati dan merahmati seterusnya memberi kekuatan kepada kita semua, Insya-Allah.

 
 

,

 

Sekretariat Kongres Ekonomi Islam Ketiga
Tel: +603 2273 8005 E-Mel: kei3@yapeim.net.my
No.52, Tingkat 1, Bangunan YaPEIM, Jalan Kampung Attap, 50732 Kuala Lumpur.
Tel: 03-2273 3170/71/72 Faks: 03-2273 3167